SELANGOR FC
BERITA

Muhammad Sertai FC Osaka Secara Pinjaman

Jul 05, 2024 - FAS

Pihak pengurusan telah secara rasmi bersetuju untuk memberi pinjaman (loan) pemain muda Selangor FC, Muhammad bin Abu Khalil kepada FC Osaka, kelab Jepun yang beraksi di Liga J3, bermula pada bulan Julai ini setelah menerima tawaran seusai sahaja tamat menjalani sesi percubaan pada 24 Jun sehingga 2 Julai yang lalu.

Muhammad merupakan antara pemain muda kemasukan musim 2023 yang telah beraksi dalam 18 perlawanan Piala MFL musim lalu sebagai pemain kesebelasan utama sekaligus berjaya membuat penampilan pertamanya dalam saingan Liga Super Malaysia bersama skuad utama Gergasi Merah dalam tahun yang sama. Atas pencapaian ini, beliau juga telah mendapat panggilan kebangsaan bawah 23 tahun dalam saingan Piala Asia untuk dua perlawanan menentang Uzbekistan dan Vietnam.

Menurut Muhammad, beliau bersyukur dengan peluang yang diberikan, “Alhamdulillah, siapa sangka rezeki saya untuk beraksi di luar negara. Pertama sekali, saya ingin berterima kasih kepada kelab Selangor FC kerana membenarkan saya berkelana di Jepun bersama kelab FC Osaka secara pinjaman. Saya lihat ini adalah peluang untuk mengembangkan lagi diri dalam karier bola sepak dengan sistem yang mereka bawa. Secara jujurnya, banyak saya dapat belajar daripada sesi percubaan tempoh hari. Saya juga amat bersyukur kerana FC Osaka mempercayai akan kebolehan saya untuk menambahbaik kekuatan pasukan mereka dalam saingan Liga J3. Saya akan berikan yang terbaik untuk banggakan keluarga, Selangor FC dan Malaysia dengan harapan lebih banyak bakat tempatan dipandang oleh negara luar. InshaaAllah.”

FC Osaka kini berada di tempat ke-3 berkongsi mata bersama pasukan di tempat ke-2 dalam saingan Liga J3. Kelab yang ditubuhkan pada tahun 1996 yang bertempat di Higashiosaka, Osaka ini menyatakan mereka menaruh harapan kepada kemampuan Muhammad terutamanya dalam bahagian serangan selepas beliau menjaringan beberapa gol semasa sesi percubaan. Menurut FC Osaka, gerakan serangan Muhammad adalah yang terbaik dalam pasukan sepanjang beliau bersama mereka. Selaras dengan misi mereka untuk menaikkan nama ‘Osaka’, mereka dengan berbesar hati menawarkan Muhammad kedudukan dalam skuad FC Osaka secara pinjaman.

Sebelum tamat temubual bersama Muhammad, beliau sempat meninggalkan pesanan kepada kem Gergasi Merah, “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah membantu saya untuk berada di tahap ini. Semoga kita sama-sama dapatkan kejayaan untuk musim 2024/25.”

Pihak Selangor FC berbangga dengan pencapaian Muhammad sehingga mendapat tawaran daripada FC Osaka secara pinjaman dengan kelebihan yang beliau miliki. Kami doakan kejayaan Muhammad di Liga J3. Terus kehadapan Mad!

Demi Kebanggaan!